Program Semarak Subuh Masjid Al-Istiqamah, Johor Jaya
Kepada Allah Kita Berserah
لا حول ولا قوة إلا بالله
Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Syukur Alhamdulillah, Program Semarak Subuh terus menjadi wadah penting dalam memperkasa pembangunan rohani umat Islam di Johor serta mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan pengukuhan nilai-nilai keimanan.
Saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al-Istiqamah, Johor Jaya serta mengikuti tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Tuan Haji Yosree bin Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Islam Negeri Johor tentang syukur atas nikmat yang dikurniakan.
Rasulullah SAW menyebut bahawa iman mempunyai lebih daripada tujuh puluh cabang, dan antara yang paling agung ialah syukur kerana dengannya seorang mukmin mengenal nikmat, menghargai kurniaan, dan tidak lupa kepada Pemberi.
Dalam al-Quran, Allah SWT tidak sekadar menyuruh kita bersyukur tetapi mendidik hati kita untuk benar-benar rasa dan sedar setiap nikmat yang Dia beri. Syukur itu bukan hanya pada lafaz “Alhamdulillah” tetapi bagaimana kita menggunakan nikmat itu pada jalan yang Allah reda atau sebaliknya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Rahman yang bermaksud “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”. Ayat ini mengajak kita untuk bermuhasabah, berhenti sejenak, menundukkan hati dan merenung satu persatu nikmat yang tidak terhitung, yang Allah SWT kurniakan, malah tanpa pernah kita pinta.
Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang tidak lupa bersyukur dalam setiap keadaan tidak kira saat diberi mahupun saat diuji. Moga setiap nikmat yang dikurniakan membawa kita lebih dekat kepada-Nya dan setiap langkah kita dipandu dalam reda-Nya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




