Qatar Menunjukkan Minat yang Tinggi untuk Melabur di Johor

Syukur Alhamdulillah. Saya dan delegasi Kerajaan Negeri Johor berkesempatan mengadakan pertemuan yang amat bermakna dengan HE Dr. Ahmad Al Sayed, Menteri Perdagangan Luar Qatar di Kementerian Perdagangan dan Industri, Qatar.

Pertemuan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara Johor dengan negara-negara di Timur Tengah, khususnya Qatar, yang mempunyai potensi besar dalam bidang pelaburan dan pembangunan.

Menerusi pertemuan ini, saya telah berkongsi mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang berpotensi untuk menjadi hab ekonomi utama menghubungkan Johor dengan negara-negara jiran dan rantau Asia Tenggara secara keseluruhan. JS-SEZ menawarkan peluang pelaburan yang luas dalam pelbagai sektor, termasuk pembangunan, pelancongan, perdagangan, dan teknologi.

Alhamdulillah, Qatar menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur di Johor serta bersedia untuk memperkenalkan JS-SEZ kepada pelabur-pelabur utama di Qatar dan rangkaian antarabangsa mereka yang pastinya akan membuka peluang besar untuk pelaburan dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Dengan kerjasama ini, Johor juga akan mendapat pendedahan yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa dimana ia bakal membawa limpahan manfaat kepada Bangsa Johor dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan kemudahan yang akan diwujudkan.

Semoga dengan segala usaha ini dapat membuka jalan untuk Johor terus maju ke hadapan dalam mewujudkan masa depan yang lebih cerah negeri ini dan menyaksikan Johor sebagai hub ekonomi yang diiktiraf di peringkat global. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor