RM45.4 juta Bagi Memperkasa Inisiatif Jualan Kasih Johor

Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM45.4 juta bagi memperkasa inisiatif Jualan Kasih Johor yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 750,000 keluarga Bangsa Johor dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Saya berkesempatan balik ke kawasan bagi menyantuni warga Simpang Renggam di Program Jualan Kasih Johor yang berlangsung di Perkarangan Pusat Khidmat DUN Machap, Simpang Renggam. Menerusi sesi ini, sebanyak 1,800 set Jualan Kombo Kasih telah ditawarkan pada harga RM15, merangkumi seekor ayam, sepapan telur dan minyak masak 2 liter.

Saya amat gembira melihat sambutan yang amat menggalakkan, sekali gus membuktikan bahawa inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada Bangsa Johor. Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban perbelanjaan harian, malah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Lebih menarik lagi, Program Jualan Kasih Johor DUN Machap akan diteruskan pada 24 Mei 2026, pada jam 4.00 petang di Laman Simpang Renggam dengan penyediaan sebanyak 2,000 set Jualan Kombo Kasih demi manfaat masyarakat setempat. Saya menyeru seluruh masyarakat Simpang Renggam agar tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan.

Semoga setiap usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan rakyat ini menjadi asbab turunnya rezeki yang melimpah, keberkatan yang berpanjangan serta kemakmuran yang lebih luas buat negeri dan seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #OHMachap #SimpangRenggam