Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Menjelang Tahun 2026
Syukur Alhamdulillah, menerusi Belanjawan Johor 2025, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi mencapai sasaran menyediakan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2026. Sehingga kini, sebanyak 13,461 unit rumah telah berjaya dibina sejak tahun 2022 hingga kini.
Kerajaan Negeri ambil maklum akan pentingnya agenda perumahan dan berusaha memastikan impian setiap Bangsa Johor untuk memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan.
Atas sebab itu, pada tahun 2025, sebanyak 8,021 unit rumah lagi disasarkan untuk dibina di seluruh daerah dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pemaju swasta. Selain itu, terdapat inisiatif-insiatif lain dalam menjayakan agenda perumahan termasuklah:-
1. RM 225 juta turut diperuntukkan untuk pembangunan 689 unit Rumah Residensi Bangsa Johor (RBJ);
2. RM 41.6 juta untuk penyelenggaraan fasiliti perumahan melibatkan lebih 14,000 unit di PPR dan flat awam;
3. RM 10 juta untuk Rejuvenasi Flat Awam;
4. RM 36.15 juta diperuntukkan untuk pembangunan Rumah Kasih Johor (RKJ) dengan penyediaan 328 unit rumah baharu;
5. RM 14.15 juta bagi program baik pulih rumah yang akan memberi manfaat kepada 795 keluarga miskin dan miskin tegar;
6. Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ);
7. Program Rumah Prihatin Johor (RPJ) yang menawarkan rumah dengan harga serendah RM 55,000 seunit melalui subsidi dan bantuan infrastruktur.
Usaha kolektif ini menunjukkan komitmen kukuh Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memastikan akses kepada perumahan yang selesa, berkualiti, dan mampu dimiliki oleh rakyat, khususnya di negeri Johor.
Semoga dengan usaha yang berterusan, impian untuk membangunkan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang tahun 2026 akan menjadi kenyataan, demi kesejahteraan dan masa depan Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor