Johor Super Lane (JSL)

Syukur Alhamdulillah, Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Johor 2025 telah memperkenalkan Johor Super Lane (JSL) sebuah inisiatif yang dirangka untuk memperkukuhkan tadbir urus serta merancakkan ekonomi Johor.

Inisiatif ini akan dilaksanakan di Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) yang berfungsi sebagai Pusat Sehenti Pelaburan Negeri Johor untuk mempercepatkan urusan pelaburan dan pembangunan.

Johor Super Lane (JSL) merupakan platform inovatif bagi menyeragamkan proses dan meningkatkan ease of doing business di Johor. Antara kelebihan utamanya termasuklah:
1. Memendekkan tempoh proses pemajuan tanah daripada 37 bulan kepada hanya 13 bulan.
2. Lesen operasi perniagaan dikeluarkan dalam 1 jam selepas CCC (Certificate of Completion and Compliance) dikemukakan.
Kemudahan dan Penambahbaikan Johor Super Lane (JSL):
1. Permohonan Serentak: Proses Kebenaran Merancang (KM) boleh dikemukakan bersama pelan kejuruteraan, pelan bangunan, pelan landskap, dan pelan lampu jalan secara serentak.
2. Kelulusan Khas Lebih Cepat: Tempoh kelulusan untuk memulakan kerja bangunan dipendekkan daripada 57 hari kepada hanya 14 hari.
3. Kelulusan TIA dan EIA Serentak: Laporan Traffic Impact Assessment (TIA) oleh JKR dan Environmental Impact Assessment (EIA) oleh JAS kini diselesaikan serentak, dengan tempoh kelulusan dikurangkan daripada 30 hari kepada 14 hari sahaja.
4. Proses Serah Balik Kurnia Semula: Tempoh pengeluaran hak milik dikurangkan secara drastik daripada 240 hari kepada 53 hari sahaja.
5. Pemasangan Mesin Operasi Awal: Kebenaran memasang mesin kini boleh diberikan sebelum CCC diperolehi, mempercepatkan permulaan operasi perniagaan.
6. CCC Technical Facilitation: Pemantauan pembinaan dan sokongan CCC akan diselaraskan dua bulan sebelum projek dijangka siap, memastikan kelancaran proses akhir pembangunan.

Dengan Johor Super Lane (JSL), Kerajaan Negeri berharap ia bukan sahaja bakal mempercepatkan proses pelaburan dan pembangunan tetapi juga mencipta persekitaran mesra perniagaan yang kompetitif. Usaha ini selari dengan visi menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor