Sambutan Pengunjung Ke Hutan Bandar MBJB Amat Baik

Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan Tanggungjawab Bersama.

Syukur Alhamdulillah, sambutan pengunjung ke Hutan Bandar MBJB amat baik dan memberangsangkan. Setiap sudut kawasan ini dipenuhi keluarga, kanak-kanak dan orang ramai yang hadir untuk beriadah serta meluangkan masa bersama insan tersayang dalam suasana yang nyaman. 

Kawasan yang menjadi tumpuan adalah “Kids Pool”.  Kemudahan ini dibangunkan oleh Kerajaan Negeri bersama MBJB dan dibuka secara percuma untuk Bangsa Johor agar ia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa perlu memikirkan bayaran, supaya tiada yang terpinggir daripada ruang rekreasi yang selesa dan berkualiti.

Namun begitu, amat menyedihkan apabila masih terdapat segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab, membiarkan anak-anak membuang najis merata-rata serta tidak menjaga kebersihan kawasan. Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah boleh menjejaskan kesihatan pengunjung lain, terutamanya kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak tentang adab dan tanggungjawab, khususnya ketika berada di tempat awam. Justeru, marilah kita sama-sama menunjukkan teladan yang baik, mendidik mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan, menghormati kemudahan awam, dan peka terhadap keselesaan orang lain. Nilai-nilai kecil inilah yang akan membentuk generasi yang lebih beradab dan bertanggungjawab pada masa hadapan.

Apabila kebersihan tidak dijaga, pihak pengurusan terpaksa mengambil tindakan seperti menutup sementara kawasan untuk pembersihan dan penyelenggaraan. Untuk makluman, kolam rekreasi ini akan ditutup sementara selama dua (2) hari bagi kerja pembersihan dan pembaikan susulan penggunaan tinggi. Ia akan dibuka semula pada Sabtu, 28 Mac 2026.

Marilah kita bersama-sama menjaga kemudahan ini agar terus boleh dinikmati oleh semua. Jangan kerana sikap segelintir, kemudahan yang baik ini terjejas. Hutan Bandar ini milik kita bersama, jadi jaga, hargai dan gunakan dengan sebaiknya.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #HutanBandarMBJB #TahunMelawatJohor2026