Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Di Saujana, Kediaman Menteri Besar Johor

Syukur Alhamdulillah. Saya dan isteri amat gembira melihat kehadiran ribuan Bangsa Johor yang datang dari segenap pelosok negeri, tanpa mengira latar belakang, untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Saujana, Kediaman Menteri Besar Johor.

Aidilfitri adalah waktu yang cukup dekat di hati kita semua. Inilah saatnya untuk kita kembali bertemu, menyambung silaturahim yang mungkin terputus, merapatkan yang jauh, dan meleraikan apa jua yang pernah berbalah. Dari jauh, jelas terpancar keindahan apabila masyarakat berbilang kaum turut hadir, berkongsi senyuman dan kegembiraan bersama. Inilah wajah sebenar Bangsa Johor, bersatu hati dalam suasana penuh harmoni.

Di setiap sudut, meja hidangan turut dipenuhi dengan pelbagai juadah tradisi Johor seperti ketupat, lemang, burasak, Laksa Johor, nasi beriani, sate dan kambing bakar untuk dinikmati bersama. Suasana majlis pula bertambah meriah dengan kehadiran The Siblings Band yang menghidupkan lagi sambutan melalui alunan lagu-lagu raya. 

Jutaan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini. Saya dan isteri amat menghargai setiap senyuman, doa dan kehadiran semua. Dengan penuh rendah hati, saya juga memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang majlis berlangsung. Sesungguhnya, tiada jurang antara kita kerana kita semua adalah satu keluarga besar Bangsa Johor.

Semoga Syawal ini akan membawa kebahagiaan berpanjangan buat kita semua. Saya doakan agar kesepaduan ini akan terus menjadi pelengkap dalam kehidupan kita di negeri Johor yang kita cintai. Insya-Allah. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #Syawal2026