Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Johor Selatan Di Southern University College
Syukur Alhamdulillah, Majlis Makan Besar sempena Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Johor Selatan yang berlangsung di Southern University College dan dihadiri lebih 1,400 orang telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan Bangsa Johor.
Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pembangunan mesti bersifat inklusif dan menyeluruh. Setiap kaum, setiap komuniti dan setiap lapisan masyarakat diberi perhatian yang seimbang.
Dalam mendukung agenda pendidikan, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM5.5 juta kepada Kolej Universiti Selatan sejak tahun 2022 hingga 2026. Bantuan ini merangkumi sokongan kebajikan dan bantuan terus kepada pelajar, agar anak-anak Johor mempunyai akses pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing.
Pada masa yang sama, warisan budaya terus dipelihara sebagai sebahagian daripada kekuatan identiti Johor. Sokongan kepada Perarakan Chingay dan Tarian Singa mencerminkan kepelbagaian budaya yang telah lama mewarnai negeri ini.
Saya percaya, Johor kekal stabil dan maju kerana kita memilih untuk bersatu. Kita tidak membiarkan perbezaan memisahkan kita, sebaliknya menjadikannya asas untuk saling memahami dan memperkaya antara satu sama lain. Inilah semangat Bangsa Johor yang mesti kita pertahankan bersama.
Semoga sambutan Tahun Baru Cina ini menjadi medan untuk terus memperkukuh perpaduan, saling menghormati antara kaum dan agama, serta memelihara keharmonian yang menjadi kekuatan negeri ini. Insya-Allah.
Gong Zhu Da Jia Xin Chun Kuai Le, Wan Shi Ru Yi!
Gong Xi Fa Cai!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




