Solat Subuh Berjemaah di Masjid Al Asma’ul Husna di Bandar Uda Utama, Johor Bahru
Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Asma’ul Husna di Bandar Uda Utama, Johor Bahru.
Selepas solat, kami berpeluang mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Haji Makhadzir bin Abdan Al-Hafiz, Imam Besar Negeri Johor mengenai kebaikan membaca Surah Al-Mulk. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maksudnya: Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.
Semoga kita semua terus diberikan kekuatan untuk membaca dan mengamalkan Surah Al-Mulk setiap hari agar ia menjadi pelindung dan pembela kita di akhirat kelak. Insya-Allah.
Alhamdulillah, saya bersyukur Program Semarak Subuh ini terus mendapat sambutan yang luar biasa dan konsisten. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang hatinya sentiasa dekat dengan masjid dan terus teguh untuk solat Subuh berjemaah setiap hari. Insya-Allah.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor