Solat Subuh Berjemaah di Masjid Al Mahabbah, Taman Bukit Mewah, Johor Bahru

لاحول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Al Mahabbah, Taman Bukit Mewah, Johor Bahru.

Selepas solat, kami berpeluang mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Zunnuruain bin Abdul Kohar mengenai Persiapan Menuju Ramadan.

Antara intipati tazkirah yang disampaikan adalah:

1. Bulan Syaaban adalah waktu untuk persiapan, tingkatkan amalan agar berterusan hingga Ramadan;
2. Dua syafaat yang pasti diterima Allah SWT adalah puasa dan membaca al-Quran;
3. Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, dengan perhatian khusus dari Allah kepada hamba-Nya; dan
4. Ramadan merupakan anugerah terbesar bagi umat Islam, peluang untuk meraih keampunan, rahmat, dan ganjaran yang tidak ternilai.

Semoga kita dapat melatih hati dengan ikhlas dan sabar dalam melawan nafsu serta meningkatkan ihsan dalam ibadah, agar Ramadan menjadi bulan yang penuh keberkatan bagi kita, dan semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat syafaat daripada berpuasa dan membaca al-Quran. Insya-Allah.

Alhamdulillah, Program Semarak Subuh terus mendapat sambutan yang luar biasa dan konsisten. Semoga kita semua menjadi golongan yang sentiasa cinta akan masjid dan istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah. Insya-Allah.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakhbar.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor