Solat Subuh Berjemaah Di Surau Ar-Raudhah, Taman Nusantara, Johor Bahru

‎لاحول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Ar-Raudhah, Taman Nusantara, Johor Bahru serta mengikuti tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Tuan Haji Anuar bin Sarimin, Timbalan Pengarah Operasi JAINJ.

Tazkirah menekankan bahawa kesempurnaan Islam terletak pada keseimbangan hubungan yang baik dengan Allah (habluminaAllah) dan hubungan yang baik sesama manusia (habluminannas), sebagai asas membentuk peribadi Muslim yang beriman dan berakhlak mulia.

Inilah asas yang menjadi panduan dalam pentadbiran dan pembangunan Johor hari ini. Kerajaan Negeri berusaha memastikan pembangunan fizikal dan ekonomi seiring dengan pembinaan nilai, akhlak dan kebajikan rakyat, melalui pelbagai inisiatif bersasar. Hal ini kerana semua ini adalah sebahagian daripada tuntutan habluminannas yang dituntut oleh Islam.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Nisa’, ayat 36 yang bermaksud:

“Beribadahlah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, musafir dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa iman perlu diterjemahkan melalui cara kita memimpin, menjaga dan membela rakyat. Inilah semangat di sebalik setiap dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri Johor, agar kemajuan yang dibina bukan sekadar dilihat, tetapi benar-benar dirasai oleh seluruh Bangsa Johor.

Semoga kita semua sentiasa menjaga dan memperkukuh hubungan dengan Allah serta memelihara hubungan sesama manusia, dalam setiap aspek kehidupan, agar lahir masyarakat yang harmoni, berakhlak dan sentiasa berada dalam rahmat serta keberkatanNya. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #GengSubuhMacamJumaat #RapatkanSaf