Synthomer Menyatakan Komitmen Baharu Dengan Pelaburan Sekitar RM200 Juta

Syukur Alhamdulillah. Walaupun Johor kini giat menarik pelaburan baharu melalui Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan dan mengalu-alukan syarikat yang telah lama menjadi rakan strategik untuk terus berkembang, dan Synthomer adalah bukti terbaik bagaimana kerjasama jangka panjang mampu membawa manfaat besar kepada Johor.

Lebih 100 tahun lalu, Johor telah menjadi hab utama Synthomer di Asia melalui operasi di Pasir Gudang, Kluang serta Asia Innovation Centre (AIC) di Kulai. Sepanjang dua dekad kebelakangan ini sahaja, syarikat ini telah melabur lebih RM1 bilion di Johor dan mewujudkan hampir 400 pekerjaan, termasuk lebih 300 pekerja dengan gaji minimum RM3,000 sebulan.

Dalam pertemuan ini, Synthomer turut menyatakan komitmen baharu dengan pelaburan sekitar RM200 juta, memberi tumpuan kepada teknologi hijau, monomer lestari, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan produk generasi baharu. Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha ini, termasuk menjadikan Kluang sebagai hab teras perniagaan Asia Tenggara dan Kulai sebagai pusat inovasi produk berimpak global.

Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Johor dalam industri kimia mampan, malah membuka ruang besar pembangunan bakat tempatan dalam bidang polimer, tenaga hijau dan inovasi digital. Semua ini selari dengan aspirasi menjadikan Johor pusat ilmu, teknologi dan inovasi bertaraf dunia.

Semoga komitmen baharu ini memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama, mempercepatkan langkah negeri muncul sebagai peneraju serantau dalam industri kimia mampan, serta membawa manfaat besar kepada seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor