Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Johor Dan Komuniti Diaspora Malaysia (Johor) Di London, United Kingdom

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang bertemu dengan anak-anak mahasiswa dan Bangsa Johor di London dalam Majlis Ramah Mesra bersama pelajar Johor dan komuniti Diaspora Malaysia (Johor) di London, United Kingdom.

Kehadiran mereka bukan sahaja merapatkan hubungan dengan Kerajaan Negeri, malah mengukuhkan ikatan ukhuwah sesama Bangsa Johor di perantauan. Saya amat berbangga melihat semangat mereka yang terus membawa nama Johor dan Malaysia ke pentas antarabangsa.

Selain berkongsi tentang perkembangan di Johor, saya juga mengambil kesempatan mendengar pandangan serta pengalaman mereka sepanjang menimba ilmu dan bekerja di sini. Suara dan aspirasi mereka penting untuk masa depan Johor. Dalam sesi tersebut, saya menyeru agar anak-anak mahasiswa Johor yang berada di perantauan untuk kembali dan bersama-sama membangunkan Negeri Johor selepas tamat pengajian nanti.

Kerajaan Negeri sentiasa komited menyediakan ruang, sokongan dan peluang agar Bangsa Johor di perantauan dapat terus menyumbang demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang dikumpul akan menjadi bekal untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju, makmur dan disegani menjelang tahun 2030. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor