TOL PERCUMA : Di Plaza Tol Bestari Perdana sehingga Hari Raya Aidilfitri

Syukur Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, di atas pengumuman pemberian TOL PERCUMA di Plaza Tol Bestari Perdana bermula hari ini sehingga Hari Raya Aidilfitri. 

Pengumuman tersebut dibuat bersempena Majlis Perasmian Jejambat Bestari Perdana, satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan dan melancarkan pergerakan trafik di Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), sekali gus menamatkan projek jejambat yang terbengkalai sejak 2021 dan akhirnya berjaya diselesaikan demi manfaat rakyat.

Projek bernilai RM70 juta ini merupakan sebahagian daripada Pasir Gudang Connector (PGC) sepanjang kira-kira 5.1 kilometer, yang menghubungkan laluan utama SDE secara terus ke Jalan Kong Kong dan Tanjung Langsat, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian serta memendekkan masa perjalanan penduduk di kawasan Kota Masai, Pasir Gudang dan sekitarnya.

Plaza Tol Bestari Perdana ini turut dilengkapi dengan dua lorong RFID serta dua lorong Touch ‘n Go bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar dan transaksi tanpa tunai yang cekap, selari dengan keperluan semasa serta pertumbuhan trafik pada masa hadapan. 

Di majlis sama, turut diumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM117 juta bagi pelaksanaan langkah-langkah tambahan untuk mengurangkan kesesakan di SDE secara berperingkat, sebagai penyelesaian jangka sederhana dan panjang demi keselesaan pengguna.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya atas sokongan berterusan buat Johor. Semoga kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ini akan terus diperkukuh demi menjamin kemudahan, kesejahteraan dan kepentingan Bangsa Johor secara berterusan. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor