2nd Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) Joint Investment Forum
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke 2nd Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) Joint Investment Forum bersama Tuan Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, dan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia di Marina Bay Sands, Singapura.
Menerusi forum ini, saya menekankan kepentingan memudahcara pelaburan melalui peranan IMFC-J sebagai pusat sehenti, serta memperkukuh pembangunan bakat tempatan melalui JTDC agar seiring dengan keperluan industri. Johor juga komited memperkasa perusahaan kecil dan sederhana supaya turut menikmati limpahan ekonomi JS-SEZ.
Forum ini turut menampilkan perbincangan strategik mengenai masa depan rantaian bekalan, transformasi industri hijau dan peluang pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan, logistik serta perkhidmatan canggih, sekali gus memperkukuh aspirasi JS-SEZ sebagai hab pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan dan berdaya saing.
Pada masa sama, saya turut berkesempatan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Southern Catalyst (SOCAT), Archisen dan CGS International Securities Malaysia. Kerjasama ini pastinya memperkukuh peranan Johor dalam pembangunan Agropolis moden serta membuka peluang baharu dalam pertanian pintar dan ekonomi hijau.
Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelabur dari dalam dan luar negara untuk melihat sendiri potensi besar yang dimiliki Johor. Semoga setiap pelaburan yang hadir membawa manfaat besar kepada rakyat dan mengukuhkan kemakmuran negeri. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




