Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ Kali Ke-26

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bahawa pendidikan ialah kunci utama kemajuan Bangsa Johor dan teras dalam membina generasi yang berilmu, berakhlak, serta berdaya saing di pentas dunia.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meraikan detik penuh makna di Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ Kali Ke-26, yang menghimpunkan 883 graduan cemerlang daripada pelbagai bidang.

Majlis ini turut diserikan dengan Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor, pengiktirafan tertinggi kepada graduan terbaik yang menyerlah dalam bidang akademik dan kemahiran. Anugerah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menghargai usaha, kecemerlangan, serta potensi besar generasi muda Johor sebagai peneraju masa depan negeri dan negara.

Tahun ini juga menjadi tanda aras bersejarah apabila Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) melangkah ke usia tiga dekad memperkasa pendidikan rakyat Johor. Tiga puluh tahun perjuangan ini kini dilakar dengan kejayaan baharu apabila pada 7 Oktober 2025, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) telah dinaik taraf secara rasmi kepada Kolej Universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, serta seluruh warga KPT atas kepercayaan dan sokongan terhadap agenda pendidikan negeri Johor. Penaiktarafan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian KYPJ, tetapi juga pengiktirafan terhadap visi Johor untuk melahirkan lebih ramai anak muda yang berilmu, berakhlak dan berdedikasi.

Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kebangkitan pendidikan Johor, melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi juga kembali mencurah bakti kepada negeri dan bangsa demi merealisasikan Johor sebagai negeri yang maju, makmur dan sejahtera. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor