Program Infaq Jumaat Johor

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261:

“Perumpamaan bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, lagi Maha Mengetahui.” 

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas ilham dan titah perkenan dalam melaksanakan Program Infaq Jumaat Johor, satu inisiatif penuh makna yang mencerminkan kasih sayang, keprihatinan dan komitmen terhadap kesejahteraan Bangsa Johor.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Program Infaq Jumaat Johor serta menunaikan Solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Al-Muttaqin, Taman Anggerik. Program ini bukan sekadar menyediakan bantuan makanan kepada masyarakat setiap hari Jumaat, tetapi sebuah usaha membentuk jiwa Bangsa Johor agar terus menjiwai semangat infaq, sedekah dan ihsan dalam kehidupan seharian.

Pelaksanaan program ini dikendalikan oleh jawatankuasa masjid di seluruh negeri, menjadikan masjid bukan sahaja pusat ibadah tetapi juga pusat komuniti yang menyantuni rakyat. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.72 juta kepada 132 masjid di seluruh Johor, dan insya-Allah pelaksanaannya akan diperluas pada tahun hadapan agar manfaatnya sampai kepada lebih ramai rakyat.

Semoga Program Infaq Jumaat Johor ini menjadi wadah keberkatan dan kebersamaan yang mempereratkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Bangsa Johor serta setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan membawa kesejahteraan kepada negeri Johor yang kita cintai. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor 

#BangsaJohor #MajuJohor #InfaqJumaatJohor #InfaqJumaat