5,000 Bakul Makanan akan Diagihkan kepada Semua 56 DUN Secara Berfasa
Syukur Alhamdulillah, berkat hasil rezeki Kerajaan Negeri Johor mencecah RM2 bilion buat pertama kali tahun ini, sebanyak RM 16.8 juta diperuntukkan bagi Program Bantuan Kasih Johor yang akan memanfaatkan 280 ribu keluarga miskin dan kurang kemampuan (B40) di seluruh negeri Johor.
Sebanyak 5,000 bakul makanan akan diagihkan kepada semua 56 DUN secara berfasa bermula hujung tahun ini. Barangan asas yang diberikan dalam bakul ini termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, dan sardin.
Semasa balik ke kawasan Simpang Renggam, saya berkesempatan melancarkan Program Bantuan Kasih Johor bagi DUN Machap dan Layang-Layang.
Agihan program akan dijalankan secara berfasa dalam lima peringkat bermula Disember 2024 hingga Januari 2025. Ini bagi memastikan pengurusan logistik berjalan lancar dan bekalan barangan kawalan dapat disediakan mengikut keperluan. Setiap fasa melibatkan penghantaran 1,000 bakul kepada setiap DUN.
Kerajaan Negeri terus komited bagi memastikan golongan rentan di negeri ini mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga inisiatif baik ini mampu mengurangkan beban kos sara hidup Bangsa Johor serta menoktahkan miskin tegar. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor