Bantuan kepada Mangsa Bencana Banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balairaya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Seramai 40 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Batu Badak, manakala 45 mangsa daripada 14 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Semasa menyantuni mereka, saya sempat mendengar luahan hati mangsa-mangsa banjir ini. Mereka bukan sahaja kehilangan kediaman buat sementara waktu, malah terpaksa mengharungi pelbagai cabaran emosi dan fizikal akibat bencana ini.
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan agar Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) ini dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan agar ia dapat mengurangkan impak banjir di negeri Johor.
Marilah kita sama-sama berdoa agar mereka terus tabah mengharungi dugaan ini, keadaan banjir di Johor kembali pulih dengan segera, dan semoga segala urusan mangsa banjir dipermudahkan. Insya-Allah.
Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pengurusan PPS, termasuk pejabat daerah, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan para sukarelawan terutamanya Southern Volunteers. Usaha ini semua pastinya serba sedikit dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor