Meninjau Perkembangan Menaik Taraf Taman Botani DiRaja Johor

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas keprihatinan Baginda yang sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti di kawasan pelancongan negeri Johor.

Menjunjung titah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menitahkan agar menaik taraf Taman Botani DiRaja Johor, sebuah lokasi bersejarah yang bakal menjadi permata baharu pelancongan Johor Bahru.

Syukur Alhamdulillah, saya bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor telah meninjau sendiri perkembangan projek pemuliharaan ini. Taman Botani DiRaja bukan sekadar sebuah taman, tetapi lambang warisan dan ketamadunan Kesultanan Johor yang wajar dipelihara untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

Lebih menarik lagi, pintu masuk baharu sedang giat dibangunkan bagi menghubungkan dua lokasi ikonik iaitu Zoo Johor dan Taman Botani DiRaja Johor. Apabila siap kelak, laluan ini bukan sahaja akan memudahkan pergerakan pengunjung, malah mewujudkan satu ekosistem pelancongan yang lebih terancang, selesa dan menyeluruh.

Semoga usaha ini akan menghidupkan semula memori serta nilai sentimental lokasi-lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Bandaraya Johor Bahru. Kerajaan Negeri komited dalam usaha memulihara dan memartabatkan bangunan-bangunan bersejarah ini agar terus utuh dan relevan kepada generasi akan datang. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor