Sekolah Rintis Bangsa Johor Membentuk Sebuah Sistem Pendidikan Yang Menyeluruh
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mengilhamkan idea Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) untuk membentuk sebuah sistem pendidikan yang menyeluruh, berdaya saing dan bertaraf dunia.
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang turun padang bertemu sendiri dengan warga pendidik, pelajar serta ibu bapa SRBJ dalam satu sesi libat urus yang amat bermakna untuk memastikan setiap langkah transformasi pendidikan ini benar-benar difahami, disambut dengan keyakinan, dan akhirnya membuahkan hasil yang mampu mengubah masa depan anak-anak Johor.
Daripada 1,194 buah sekolah di Johor, empat buah sekolah telah dipilih untuk menjadi perintis kepada agenda besar ini, iaitu;
1. SMK Tasek Utara
2. SK Tasek Utara
3. SMK Seri Kota Puteri 2
4. SK Seri Kota Puteri 4
Transformasi yang digerakkan ini bukan sekadar perubahan kosmetik. Ia adalah perubahan menyeluruh termasuklah;
1. Penguasaan Bahasa Inggeris & STEM
2. Penilaian pencapaian bertaraf global (iGCSE & PSLE)
3. Perancangan pasca SPM yang jelas
4. Persekitaran pembelajaran moden yang lengkap dengan smartboard, tablet, internet berkelajuan tinggi, makmal sains moden, serta penggunaan teknologi AR & VR.
Malah menerusi inisiatif ini, Johor menjadi negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan sekolah harian diiktiraf sebagai Apple Distinguished School, satu pengiktirafan antarabangsa hasil kerjasama strategik dengan sektor industri.
Kerajaan Negeri juga menaja latihan guru di National Institute of Education (NIE), Singapura, serta memperuntukkan sebanyak RM29 juta untuk menaik taraf infrastruktur sekolah. Ini adalah bukti komitmen berterusan untuk memastikan tiada lagi anak Johor yang tercicir. Setiap pelajar dibimbing hingga ke universiti atau laluan TVET, mengikut minat dan potensi mereka. Pendidikan bukan lagi beban, tetapi kunci masa depan.
Selari dengan harapan dan wawasan DYAM Pemangku Sultan Johor, saya yakin dan pasti, inilah perjuangan membina Bangsa Johor yang cemerlang, bermula dari sekolah. Dan usaha ini hanya akan berjaya jika disambut bersama oleh ibu bapa, warga pendidik, dan seluruh Bangsa Johor. Ini adalah pelaburan besar untuk masa depan Johor yang lebih baik. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




