Pertemuan Dan Perbincangan Bersama Pihak Pengurusan OCBC Group

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pihak pengurusan OCBC Group, salah satu institusi kewangan terkemuka Asia bagi meneroka ruang kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Johor, khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang kini giat dilaksanakan sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri.

Dalam sesi tersebut, OCBC menyatakan komitmen teguh mereka untuk menyokong pelaburan, pembiayaan dan pengembangan perniagaan dalam JS-SEZ. Sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Asia Tenggara, OCBC memiliki kekuatan kewangan yang kukuh dengan jumlah aset melebihi USD468 bilion serta rekod prestasi cemerlang di pelbagai pasaran utama dunia. Dengan rangkaian operasi yang luas merangkumi Asia Tenggara, Greater China dan pasaran antarabangsa, OCBC bersedia menjadi jambatan penting yang menghubungkan Johor dengan pelabur dan pemain industri global.

Saya turut dimaklumkan bahawa OCBC kini mempunyai hampir 400 pekerja di Johor dan merancang untuk menambah jumlah tersebut, khususnya untuk graduan tempatan dengan gaji permulaan antara RM3,200 hingga RM3,600 menandakan komitmen OCBC untuk menawarkan pekerjaan bernilai tinggi yang selari dengan aspirasi penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC). Inisiatif ini akan memastikan pembangunan JS-SEZ turut disokong oleh bakat tempatan yang kompeten dan bersedia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Dalam perbincangan ini juga, OCBC berkongsi pandangan tentang potensi Johor sebagai hab pelaburan dan perdagangan yang menghubungkan ASEAN dan China. Dengan kekuatan rangkaian mereka di kedua-dua rantau, OCBC bersedia menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama seperti logistik, pembuatan, infrastruktur, fintech dan ekonomi digital. Kepakaran OCBC dalam pembiayaan rentas sempadan, pengurusan kekayaan dan transformasi digital menjadikan mereka rakan strategik yang amat bernilai dalam usaha membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi ke Johor.

Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan OCBC bukan sekadar membuka peluang pelaburan, malah membentuk ekosistem ekonomi yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing. Ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk melonjakkan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serantau yang dipacu oleh inovasi, bakat dan pelaburan bernilai tinggi. Insya-Allah, dengan komitmen bersama, Johor mampu mengangkat dirinya sebagai destinasi pelaburan utama di ASEAN dan penanda aras baharu dalam pembangunan ekonomi masa hadapan.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor