Lawatan Rasmi Ke Singapura Bersama H.E. Encik Jeffrey Siow, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura
Syukur Alhamdulillah, hari ketiga lawatan rasmi saya ke Singapura diteruskan dengan sesi pertemuan bersama H.E. Encik Jeffrey Siow, Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor pengangkutan antara Johor dan Singapura.
Fokus utama perbincangan tertumpu kepada perkembangan Projek Rapid Transit System (RTS) Link yang dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027. Antara aspek yang disentuh termasuk kemajuan fizikal projek, penyelarasan jadual pengoperasian, penetapan struktur tambang, serta penyepaduan sistem pengangkutan awam antara Johor dan Singapura.
Beberapa cadangan juga dibincangkan sebagai usaha untuk melancarkan mobiliti rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi kedua-dua wilayah secara mampan.
Pertama, ialah cadangan menyelaras waktu operasi serta menambah bilangan bas rentas sempadan daripada lima operator utama iaitu SBS Transit, Causeway Link, SMRT Buses, Transtar Travel dan Bas AC7 untuk dimulakan lebih awal, berbanding 5.00 pagi pada masa kini bagi menangani kesesakan dan memastikan aliran trafik yang lebih lancar di Tambak Johor serta kompleks imigresen.
Kedua, cadangan inisiatif perkhidmatan e-hailing rentas sempadan antara Johor dan Singapura turut dibincangkan sebagai pendekatan baharu untuk memudahkan pergerakan. Perkhidmatan ini bukan sahaja menawarkan pilihan mobiliti yang lebih fleksibel dan mengikut keperluan pengguna, malah berpotensi mengurangkan kesesakan di laluan utama serta membuka peluang pendapatan kepada pemandu tempatan.
Ia juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada sistem pengangkutan yang lebih mesra pengguna, selamat dan berdaya saing, di samping memperkukuh integrasi antara mod pengangkutan awam kedua-dua negara.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada cadangan pelaksanaan satu kajian khusus berkenaan potensi Perkhidmatan Feri Tuas sebagai alternatif pengangkutan rentas sempadan. Kajian ini akan menilai tahap permintaan sebenar serta mengenal pasti keperluan dan impaknya sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada seperti RTS Link dan laluan darat. Inisiatif ini berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada Tambak Johor dan Linkedua, sekaligus membuka lebih banyak pilihan perjalanan yang fleksibel, selesa dan efisien.
Kerajaan Negeri Johor kekal komited menyokong pembangunan infrastruktur dan sistem pengangkutan yang efisien serta mesra rakyat. Semoga pertemuan ini akan membuka laluan kepada perancangan bersama yang lebih tersusun demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi serantau. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




