Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Johor
Syukur Alhamdulillah, saya berasa amat gembira kerana berpeluang menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Batu Pahat, dengan kehadiran lebih 13,000 peserta dan penonton yang membanjiri perkarangan sambutan sehingga mencipta suasana begitu meriah dan bersejarah.
Saya amat teruja dan bangga melihat ribuan Bangsa Johor yang penuh semangat patriotik hadir seawal pagi untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan ini. Kehadiran mereka bagi menyaksikan perarakan yang disertai oleh 165 kontinjen melibatkan agensi kerajaan, pasukan beruniform, institusi pengajian tinggi awam, sekolah-sekolah, komuniti setempat, kenderaan serta pancaragam.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pemenang bagi setiap kategori pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Johor Tahun 2025. Sekalung penghargaan kepada Pejabat Daerah Batu Pahat selaku tuan rumah, bersama seluruh sekretariat yang bertungkus lumus memastikan kelancaran acara yang begitu besar maknanya kepada negeri dan negara.
Bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68 ini, marilah kita memperbaharui semangat kecintaan kepada tanah air. Kemerdekaan bukan sekadar sambutan atau perarakan, tetapi penghargaan kepada pengorbanan pejuang terdahulu. Dengan semangat yang utuh, kita mampu membina Johor dan Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan dihormati dunia.
Sama-samalah kita berdoa agar Johor sentiasa dilindungi daripada segala bala bencana, dijauhkan daripada sebarang musibah, dan dikurniakan keberkatan serta rahmat Allah SWT. Semoga negeri Johor dan negara Malaysia yang kita cintai ini terus kekal aman, makmur dan sejahtera untuk diwariskan kepada anak cucu kita. Insya-Allah.
SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KE-68!
DIRGAHAYU MALAYSIAKU!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




