Program Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Tahun 2025

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengiringi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke Program Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Tahun 2025, berlangsung di Johor yang diberi penghormatan sebagai tuan rumah pertama selepas IJPAM dijadikan acara dwi tahunan.

Program ini telah berlangsung selama 7 hari bermula 8 hingga 14 September 2025. Sebanyak 20 agensi agama dengan penyertaan 2,264 peserta mengambil bahagian, merangkumi agensi persekutuan seperti JAKIM, Tabung Haji, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), serta kontinjen dari 14 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Antara pengisian utama adalah Fun Run IJPAM Johor dengan kategori terbuka 5.1 km, 3 km dan VIP 1.69 km, Konvensyen Hal Ehwal Agama Islam & Seminar, serta Kejohanan Sukan IJPAM. Sukan meriah dengan 9 acara utama termasuk bola sepak, badminton, memanah, bola jaring, bowling, golf dan ping pong.

Bagi memastikan kesejahteraan rakyat Johor terus terpelihara, pelbagai inisiatif besar disalurkan di Johor. Pada tahun 2025 sahaja, JAKIM menyalurkan RM21.88 juta kepada 244 institusi pendidikan agama. Kutipan zakat pula telah mencecah RM423.5 juta sehingga Ogos 2025 dengan agihan kepada lebih 225,000 penerima manfaat dalam 14 bentuk bantuan merangkumi sara hidup bulanan, perubatan, persekolahan dan perumahan.

Selain itu, Johor mempunyai rangkaian kukuh pentadbiran Islam dengan 843 masjid dan 1,900 surau disokong oleh 35,681 pegawai & AJK. Negeri ini juga mengurus 1,042 sekolah agama dengan lebih 1,300 guru menerima kenaikan elaun serta tambahan 300 tenaga pengajar baharu. Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM77.57 juta bagi program keagamaan termasuk Semarak Subuh, pembinaan 3 sekolah agama baharu dan lain-lain.

Program ini bukan sekadar himpunan agensi, tetapi lambang penyatuan, kekuatan dan komitmen bersama dalam memperkasa syiar Islam. Semoga IJPAM 2025 menjadi pemangkin pembangunan ummah, memperkukuh syiar Islam serta terus menjulang martabat Bangsa Johor sebagai contoh negeri maju yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan agama. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor