NVIDIA Bersama YTL Corporation Memilih Johor Sebagai Salah Satu Daripada Hanya Lima NVIDIA Cloud Partners
Syukur Alhamdulillah, syarikat gergasi teknologi dunia NVIDIA bersama YTL Corporation telah memilih Johor sebagai salah satu daripada hanya lima NVIDIA Cloud Partners. Pemilihan ini adalah pengiktirafan besar yang membuktikan keyakinan dunia terhadap kekuatan ekosistem digital Johor serta potensinya untuk muncul sebagai peneraju utama transformasi digital di rantau ASEAN.
Kerangka Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) pula menggabungkan kekuatan Johor dan Singapura, menjadikannya pintu masuk strategik ekosistem digital dan AI serantau. Justeru, kerjasama YTL Power–NVIDIA bernilai RM20.6 bilion yang diumumkan pada Disember lalu di Kulai telah meletakkan asas kepada pembangunan infrastruktur AI paling canggih di Malaysia.
Projek ini bukan sahaja melahirkan Large Language Model (LLM) pertama negara dan membuka ribuan peluang pekerjaan berteknologi tinggi, malah menobatkan Johor sebagai ASEAN AI Centre of Excellence. Ia adalah bukti Johor mampu memimpin anjakan teknologi serantau dengan visi yang jelas dan strategi yang mampan.
Saya optimis kerjasama ini akan terus diperkukuh menerusi pembangunan model AI pelbagai bahasa, penubuhan testbed bersama dalam JS-SEZ, serta penyediaan saluran bakat AI untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital seluruh rantau. Semoga langkah strategik ini memacu Johor muncul sebagai hab kecerdasan buatan dan digital terkemuka ASEAN. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




