Dua Klinik Kesihatan Baru Telah Mula Beroperasi Hasil Sumbangan Kerajaan Negeri Johor
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dua klinik kesihatan baru telah mula beroperasi hasil sumbangan Kerajaan Negeri Johor dengan kos berjumlah RM8.4 juta.
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan melawat Klinik Kesihatan Gelang Patah (Unit Ibu dan Anak) yang telah mula beroperasi sepenuhnya sejak 8 Disember 2025 sebagai bagi mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Gelang Patah sedia ada. Langkah ini diambil bagi memastikan ibu, bayi dan keluarga mendapat rawatan dalam suasana yang lebih selesa, selamat dan teratur.
Dalam masa yang sama, Klinik Kesihatan Sultan Ismail (Unit Ibu dan Anak) juga telah mula beroperasi sejak 1 Disember 2025. Fasiliti ini bukan sahaja menampung keperluan rawatan ibu dan anak, malah turut menyediakan kemudahan Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (Drive-Thru) bagi memudahkan urusan pesakit, khususnya golongan bekerja dan warga emas .
Pemindahan kedua-dua klinik ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Waqaf An-Nur serta pihak swasta. Fasiliti ini menempatkan pelbagai perkhidmatan penting termasuk imunisasi, penjagaan ibu hamil, rawatan bayi, farmasi, makmal, fisioterapi, pemulihan, kaunseling dan dietetik, dengan kehadiran harian mencecah ratusan pesakit.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan berkesan, seramai 26 petugas ditempatkan di Klinik Kesihatan Gelang Patah dan 33 petugas di Klinik Kesihatan Sultan Ismail, melibatkan pegawai perubatan, jururawat, pegawai farmasi serta juruteknologi makmal. Mereka inilah barisan hadapan yang memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan profesional dan penuh dedikasi.
Saya yakin, dengan penambahan fasiliti dan penambahbaikan perkhidmatan ini, Bangsa Johor akan menikmati akses kesihatan yang lebih mudah, efisien dan berkualiti. Insya-Allah, Kerajaan Negeri Johor akan terus komited untuk bekerjasama dengan pihak kementerian kesihatan bagi memperkukuh sektor kesihatan demi manfaat Bangsa Johor.
Semoga dipermudahkan segala urusan.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




