Penubuhan Inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ)

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan mencemar duli berangkat ke Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, serta atas cetusan ilham penubuhan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang menjadi pemangkin penting dalam usaha memperkukuh agenda pendidikan Negeri Johor secara berterusan.

Syukur Alhamdulillah, dengan kerjasama erat Jabatan Pendidikan Negeri Johor, sebanyak empat (4) buah sekolah telah dipilih sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor bermula sesi persekolahan 2025/2026, iaitu:

1. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang

2. Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri 4, Pasir Gudang

3. Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru

4. Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru

Pemilihan sekolah-sekolah ini dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan berfokus, antaranya sekolah satu sesi bagi memaksimumkan tumpuan terhadap pembangunan murid, kepimpinan sekolah yang proaktif serta komited, selain pendekatan feeder–acceptor antara sekolah rendah dan menengah bagi memastikan kesinambungan pembangunan pelajar dari peringkat awal hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Menerusi lawatan ini, DYAM Pemangku Sultan Johor turut berkenan meninjau kemudahan dan fasiliti utama yang telah dinaik taraf, termasuk kelas rintis, makmal sains, pusat sumber serta bilik eksplorasi. Secara keseluruhan, projek SRBJ melibatkan peruntukan berjumlah RM54 juta, dengan RM31.22 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 dan RM22.78 juta bagi Fasa 2, merangkumi kerja-kerja naik taraf infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi.

Penekanan utama pelaksanaan SRBJ merangkumi penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu, pengukuhan kemahiran STEM, pembangunan sahsiah dan kebolehpasaran murid, serta pelaksanaan pentaksiran kompetensi murid yang setara dengan penilaian bertaraf antarabangsa dan selari dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sesungguhnya SRBJ bukan sekadar sekolah contoh, sebaliknya menjadi penanda aras baharu pendidikan negeri. Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memastikan setiap pelajar berpeluang menikmati pendidikan yang holistik, berkualiti dan bertaraf dunia, sekali gus membuktikan bahawa sekolah harian mampu mencapai kecemerlangan tertinggi apabila perancangan dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berfokus. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SRBJ #OrangMudaJohor