Seramai 500 Orang Bakal Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ)
Syukur Alhamdulillah, saya dan isteri berpeluang meraikan seramai 500 orang bakal jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah Haji melalui beberapa siri penerbangan bermula 7 hingga 9 Mei 2026 di Dewan Kenanga, MBJB.
Tahun ini, seramai 3,866 jemaah dari Negeri Johor akan menunaikan ibadah Haji daripada keseluruhan 31,600 Jemaah Haji Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 500 jemaah adalah di bawah Rombongan Kerajaan Johor (RKJ), termasuk pegawai tadbir negeri serta pembimbing haji yang akan mengiringi dan memastikan kebajikan jemaah terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam memperkukuh kebajikan bakal jemaah Haji melalui pelbagai bentuk bantuan. Antaranya, bantuan tambang haji sebanyak RM8,000 seorang kepada 500 jemaah RKJ dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.7 juta. Selain itu, bantuan RM300 turut disalurkan kepada kesemua 3,866 bakal jemaah haji Johor yang berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.16 juta bagi musim Haji 1447H / 2026M.
Selain itu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor turut menyumbangkan pek makanan sedia dimakan (ready-to-eat) serta minuman kepada para jemaah sebagai bekalan sepanjang perjalanan dan ketika berada di Tanah Suci dalam membantu memudahkan urusan jemaah sepanjang menunaikan ibadah haji di Mekah dan Madinah.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji. Semoga semua bakal jemaah Haji khususnya dari negeri Johor dipermudahkan segala urusan, diberikan kesihatan yang baik, dikurniakan haji yang mabrur serta pulang dengan keampunan dan rahmat Allah SWT. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




