Pembangunan Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) Di Hutan Bandar MBIP

Insya-Allah, taman-taman di seluruh negeri akan terus dinaik taraf sebagai ruang riadah yang lebih baik untuk Bangsa Johor. Itulah hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau cadangan pembangunan Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini, satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri melalui MBIP dalam memperkukuh ruang hijau awam yang lebih moden, inklusif dan berkualiti demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Cadangan pembangunan bernilai lebih RM13 juta ini bakal mentransformasikan Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini seluas lebih 60 ekar menjadi sebuah taman rekreasi bertaraf moden yang bukan sahaja indah dan lestari, malah memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

Pembangunan ini merangkumi sembilan komponen utama termasuk kawasan permainan, waterplay, kolam cetek, pavilion, ruang santai serta pelbagai kemudahan awam yang dibangunkan berteraskan konsep Universal Design, memastikan kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan seluruh keluarga dapat menikmati kemudahan ini dengan selesa dan selamat.

Semasa lawatan, saya turut melepaskan mud ball dan beberapa ekor ikan ke dalam tasik sebagai usaha meningkatkan kualiti air, mengurangkan enapan serta bau, di samping memelihara biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik di kawasan ini.

Saya kemudiannya meninjau Gym Muafakat Hutan Bandar MBIP yang kini dilengkapi sistem pendaftaran digital yang lebih moden. Inisiatif ini membolehkan pengguna merekod serta memantau perkembangan kecergasan mereka dengan lebih sistematik, sambil menikmati kemudahan berkualiti pada kadar yang amat berpatutan, iaitu hanya RM5.

Semoga Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini terus berkembang sebagai destinasi rekreasi pilihan Bangsa Johor serta simbol keseimbangan antara pembangunan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan Negeri akan terus memperkasa pembangunan yang memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat menerusi penyediaan ruang awam yang berkualiti, lestari dan mesra komuniti, insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor

Skip to content