Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Johor Di Dataran Tanjung Emas, Muar

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Syukur Alhamdulillah, saya gembira dapat bersama ribuan Bangsa Johor yang hadir memenuhi Dataran Tanjung Emas, Muar bagi menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Johor dalam suasana penuh semangat patriotik, kebersamaan dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Lebih membanggakan, orang ramai hadir seawal pagi untuk bersama-sama memeriahkan sambutan. Tahun ini, kemeriahan acara diserikan dengan penyertaan 141 kontinjen yang terdiri daripada jabatan kerajaan, badan beruniform, sektor swasta, NGO, GLC, institusi pendidikan, perarakan kenderaan dan aset negara serta pancaragam. Kemeriahan laungan merdeka, kibaran Jalur Gemilang yang memenuhi Dataran Tanjung Emas membuktikan semangat patriotisme terus subur dalam jiwa Bangsa Johor. 

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pemenang bagi setiap kategori pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Johor Tahun 2026. Sekalung penghargaan kepada Pejabat Daerah Muar selaku tuan rumah, bersama seluruh sekretariat, petugas dan semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran dalam menjayakan sambutan ini.

Bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-69 ini, marilah kita memperbaharui semangat kecintaan kepada tanah air. Marilah kita terus merapatkan saf sebagai rakyat Malaysia, mengetepikan segala perbezaan dan bergerak bersama demi masa depan negeri yang kita cintai.

Ayuh kita galas amanah ini dengan penuh kesungguhan dan tanggungjawab. Semoga Johor dan Malaysia yang kita cintai terus kekal aman, makmur dan sejahtera. Sama-samalah kita berdoa agar Johor dan Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bala bencana, dijauhkan daripada sebarang musibah, dan dikurniakan keberkatan serta rahmat Allah SWT. 

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KE-69!
DIRGAHAYU MALAYSIAKU! 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #SelamatHariKebangsaanKe69

Skip to content