Membincangkan Keutamaan Pembangunan Johor

Syukur Alhamdulillah, saya telah mengadakan pertemuan bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi bagi membincangkan keutamaan pembangunan Johor serta penyelarasan projek strategik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Pertemuan ini penting bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Johor disokong oleh pembangunan infrastruktur yang terancang dan memenuhi keperluan semasa rakyat.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah keutamaan Johor di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), khususnya melibatkan jaringan jalan raya dan pengangkutan, perumahan, kesihatan, pendidikan, keselamatan serta pengurusan pesisir pantai dan sumber air. Kesemua aspek ini perlu bergerak seiring dengan perkembangan pesat negeri supaya kemajuan Johor benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

Dalam konteks pertumbuhan ekonomi, perhatian turut diberikan kepada penyediaan infrastruktur bagi menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Kemudahan yang baik dan mencukupi amat penting untuk meningkatkan daya saing Johor, selain menarik lebih banyak pelaburan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada Bangsa Johor.

Bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan, saya turut menekankan kepentingan mempercepat projek yang masih berada di peringkat pra pelaksanaan melalui penyelarasan yang lebih rapat antara agensi negeri dan persekutuan. Setiap proses perlu dipermudah dan sebarang isu diselesaikan segera supaya pelaksanaan projek dapat dipercepat dan manfaatnya dapat dirasai oleh Bangsa Johor secepat mungkin.

Besar harapan saya agar Kementerian Ekonomi dapat membantu melancarkan penyelarasan dan mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan untuk Johor. Semoga kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus memacu ekonomi serta membawa manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor 

Skip to content