Mesyuarat Pertama Johor-Singapore Cooperation Ministerial Committee (JSCMC)
Syukur Alhamdulillah, saya menghadiri Mesyuarat Pertama Johor-Singapore Cooperation Ministerial Committee (JSCMC) yang berlangsung di Singapura, dipengerusikan bersama oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi Malaysia dan TYT Chee Hong Tat, Menteri Pembangunan Negara Singapura.
Mesyuarat ini menandakan fasa baharu kerjasama antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Melalui JSCMC, kerjasama yang sebelum ini tertumpu kepada pembangunan Iskandar Malaysia kini diperluas kepada pelaksanaan JS-SEZ, pengangkutan serta kelancaran pergerakan rakyat dan barangan merentasi sempadan.
Kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan pasukan kerja bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan perkara yang dipersetujui supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang jelas. Kerjasama ini turut menunjukkan perkembangan positif apabila JS-SEZ merekodkan RM88.83 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2026, dengan RM42.64 bilion daripadanya telah dilaksanakan.
Pada masa sama, perhatian turut diberikan kepada usaha melancarkan perjalanan rentas sempadan, termasuk persiapan menjelang pengoperasian RTS Link yang disasarkan pada Februari 2027, bagi memudahkan urusan harian rakyat antara Johor dan Singapura. Menjelang pelancaran pelan pembangunan JS-SEZ yang dijangka pada Disember 2026, Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh infrastruktur, memudahkan urusan pelaburan serta meningkatkan kemahiran anak-anak Johor supaya mereka dapat merebut lebih banyak peluang pekerjaan yang diwujudkan.
Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Singapura serta semua pihak atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam memperkukuh hubungan strategik antara Johor dan Singapura demi manfaat rakyat kedua-dua negara. Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




