Executive Talk Siri 2/2024
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Executive Talk Siri 2/2024 yang diadakan di Hotel Ramada by Wyndham Meridin Johor Bahru.
Sesi kali ini telah disampaikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar, seorang tokoh korporat Malaysia yang terkenal dengan pengalaman dalam sektor kewangan, pelaburan, dan pengurusan strategik negara. Beliau kini merupakan Pengerusi Malaysia Islamic Finance Corporation (MIFC), sebuah institusi yang mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global.
Menerusi program ini, saya teruja kerana diberi peluang berkongsi pendapat dan ilmu bersama Tan Sri Azman dalam pembangunan ekonomi negeri Johor. Beliau telah berkongsi berkenaan prinsip “Kancilnomics,” yang memerlukan kita menjadi lebih pintar, cekap, dan tangkas dimana pentingnya tadbir urus yang baik berlandaskan nilai integriti dan budaya kerja yang tinggi dalam menghadapi cabaran perubahan global yang kompleks.
Selain itu, beliau juga menyentuh tentang hala tuju dan peluang besar yang bakal wujud dalam tempoh 25 hingga 30 tahun ini, di mana segala perancangan dan strategi yang rapi amat perlu bagi mencapai matlamat ekonomi yang lebih gemilang. Walau bagaimanapun, kejayaan ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan dan penekanan terhadap pertumbuhan yang seimbang, inklusif, dan lestari.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan swasta menjadi kunci utama bagi melaksanakan setiap strategi yang direncanakan. Dengan usaha ini, Johor bersedia bukan sahaja untuk menghadapi cabaran ekonomi masa depan tetapi juga untuk menjadi peneraju global dalam inovasi dan pembangunan.
Semoga segala perancangan dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dapat diterjemahkan dan dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor serta rakyat Malaysia secara keseluruhan demi memastikan pembangunan negeri Johor yang seimbang dan maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor