Belanjawan Johor 2026 Bagi Bantuan Bilik Guru

Syukur Alhamdulillah, sebanyak RM5.975 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Johor 2026 bagi Bantuan Bilik Guru untuk tahun keempat pelaksanaannya, yang memberi manfaat kepada 1,195 buah sekolah dan lebih 49,000 guru di seluruh negeri Johor.

Usaha ini adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan masa depan anak Bangsa Johor. Guru bukan sahaja mengajar di bilik darjah, tetapi membina keyakinan, membentuk akhlak, menyemai harapan dan menyediakan generasi pewaris Johor yang lebih baik.

Menerusi Majlis Aspirasi Pendidikan Negeri Johor 2026 di SMK Tasek Utara, Johor Bahru, saya turut berbesar hati menyampaikan Anugerah Khas, Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru 2026 kepada warga pendidik yang telah membuktikan kecemerlangan, komitmen dan jasa luar biasa dalam memperkasa dunia pendidikan negeri ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik di Negeri Johor atas jasa, komitmen dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa. Tanpa guru-guru, tidak mungkin kita mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu membawa masa depan negeri ke arah yang lebih cemerlang.

Semoga usaha ini terus memperkukuh kebajikan warga pendidik, memartabatkan sistem pendidikan negeri dan melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berakhlak, berkualiti dan berdaya saing. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor