Beramah Mesra Bersama Hampir 600 Mahasiswa Anak Johor Di Sabah

Syukur Alhamdulillah, saya berasa amat gembira dan teruja dapat bertemu serta beramah mesra bersama hampir 600 Mahasiswa Anak Johor di Sabah dalam suasana penuh semangat Bangsa Johor di Kota Kinabalu.

Pertemuan ini penting memastikan kebajikan, pembangunan bakat dan kecemerlangan akademik anak Johor terus menjadi keutamaan. Mahasiswa hari ini adalah pemimpin masa depan negeri, aset terpenting yang akan menentukan arah kemajuan Johor dalam tahun-tahun mendatang.

Menerusi majlis ini, saya berkesempatan menyampaikan bantuan tunai one-off RM200 yang telah dan akan diberikan kepada 54,000 mahasiswa bagi Siri 1 dan 88,000 mahasiswa bagi Siri 2, selain peruntukan RM10 juta bagi penyediaan 4,000 unit komputer riba kepada pelajar dari keluarga B40. Bantuan ini diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban dan membantu perjalanan pengajian anak-anak Johor.

Saya sedar dan insaf masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan kebajikan rakyat, termasuk para mahasiswa, terus terjaga. Oleh itu saya menyeru agar kita semua terus bersatu hati, bersama-sama membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk anak muda.

Dengan semangat dan kesungguhan Orang Muda Johor, disertai sokongan padu Kerajaan Negeri, saya yakin mereka akan kembali sebagai tenaga mahir dan pemimpin yang mengangkat martabat Johor di persada dunia. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #OrangMudaJohor #JTDC #MahasiswaJohor