Kerajaan Negeri Johor Akan Memperluaskan Program Bangsa Johor Bahagia (BJB)

KERAJAAN NEGERI JOHOR MEMPERLUASKAN PROGRAM BANGSA JOHOR BAHAGIA DALAM USAHA MENINGKATKAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT

Kerajaan Negeri Johor akan memperluaskan Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam kawasan penempatan kos rendah di Johor. 

Perkara itu dipersembahkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada sesi mengadap bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini (10 November). 

Hadir sama, Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor dan Datin Halimah Mohamed Rasip, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru; Prof SR Dr Maimunah Sapri, Ketua Projek BJB dan Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rashidi, Pengarah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM. 

Program BJB merupakan ilham KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. 

Ia juga merupakan sebuah projek di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kerajaan Negeri Johor. 

Program berkenaan menempa beberapa kejayaan melalui projek komuniti perintis yang dilaksanakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai (BJB1.0) sejak tahun 2019 seterusnya diperluaskan ke Flat Plentong Utama (BJB2.0) pada tahun ini. 

Kini Kerajaan Negeri Johor berhasrat untuk memperluaskan program BJB 3.0 ke Flat Larkin (Johor Bahru) dan Flat Temenggong (Kulai) dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan penempatan berkenaan. 

Program BJB 3.0 pada kali ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

Perancangan program BJB 3.0 akan menerapkan tema warisan dan semangat baru dengan fokus menangani cabaran perumahan berstrata, peningkatan taraf sosioekonomi, peluang pembangunan remaja, platform perkembangan generasi dan keupayaan komuniti menerima perubahan.

#RPAgong #AllahPeliharakanSultan #IstanaNegara