Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil.3/2024

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil.3/2024 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi di Parlimen Malaysia.

Mesyuarat telah membincangkan pelbagai isu dan inisiatif dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di Johor Bahru dan Lembah Klang. Isu keselamatan dan kesesakan jalan raya merupakan isu kritikal yang mempengaruhi kesejahteraan rakyat.

Melalui perbincangan ini, Kerajaan Negeri Johor telah membentangkan beberapa inisiatif utama yang telah dan akan dilaksanakan. Antaranya;
1. Pelaksanaan rangkaian infrastruktur pengangkutan dan penyuraian trafik di kawasan ‘Greater JB’ dengan mengenal pasti 77 kawasan kesesakan lalu lintas melibatkan 4 PBT;
2. Pelaksanaan dan cadangan lokasi ‘Park & Ride’ bagi rangkaian perkhidmatan bas;
3. Penambahan rangkaian laluan bas henti-henti;
4. Memperluaskan rangkaian infrastruktur jalan raya di Johor terutamanya kawasan ‘Greater JB’.

Selain itu, mesyuarat juga telah bersetuju untuk mewujudkan satu task force khas antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi membincangkan isu kesesakan jalan raya dan penyuraian trafik untuk Sistem Rapid Transit (RTS) di Johor Bahru.
 
Saya yakin dan pasti dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, segala usaha dan inisiatif yang telah dirancang dapat dilaksanakan demi memastikan isu kesesakan serta keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan demi keselesaan pengguna terutamanya Bangsa Johor.

Semoga segala urusan kita semua dipermudahkan. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor