MJohor Bersedia Menjadi Hab Digital Serantau dengan Pelaburan Pusat Data Bertaraf Dunia

Dengan pasaran pusat data Malaysia dijangka melonjak 264% dalam tempoh lima tahun, Johor kini bersedia untuk muncul sebagai hab digital serantau yang bukan sahaja menarik pelaburan berbilion ringgit, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekonomi digital global!

Syukur Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan hadir pada Majlis Pecah Tanah ST Telemedia Johor 1 di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Iskandar Puteri, sekaligus menandakan satu lagi detik bersejarah dalam transformasi digital Johor.

ST Telemedia Global Data Centres merupakan antara pusat data terkemuka dunia, telah memilih Johor sebagai destinasi strategik untuk membina kampus pusat data berprestasi tinggi, merupakan satu langkah yang bakal mengubah landskap ekonomi digital negeri ini.

Dengan keluasan 22 ekar, dan terletak hanya 15 kilometer dari Singapura, pusat data ini bakal menghubungkan Johor dengan rangkaian digital di Singapura, Thailand, Vietnam, dan Filipina, serta menyokong pertumbuhan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ). Lebih membanggakan, projek ini turut menyokong agenda ekonomi hijau dan pembangunan lestari dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta rendah karbon, selaras dengan visi Johor ke arah masa depan yang lebih mampan.

Bukan sekadar pelaburan infrastruktur, STT GDC juga turut menjalin kerjasama dengan Johor Talent Development Council (JTDC) melalui Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membangunkan bakat tempatan dalam sektor pusat data lestari. Inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh keupayaan Johor sebagai hab kepakaran pusat data di rantau ini.

Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan pelaburan seperti ini yang bukan sahaja memperkukuh daya saing, tetapi juga memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung daripada kemajuan teknologi dan pelaburan yang datang ke negeri ini. Saya yakin dengan kerjasama yang erat antara kerajaan, sektor swasta, dan rakyat, Johor akan terus maju sebagai pusat digital bertaraf dunia seiring dengan visi Maju Johor 2030!

Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor