Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru: Era Baharu Pengangkutan Rel di Johor

Syukur Alhamdulillah Projek ETS Gemas-Johor Bahru telah bermula dengan Segamat pada 15 Mac, stesen di Labis akan bermula pada bulan April, Kluang pada bulan seterusnya sehingga ke Johor Bahru pada bulan September tahun ini. Insya-Allah, projek ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada September tahun ini.

Semasa balik ke kawasan Simpang Renggam, saya berkesempatan melawat Stesen KTM Layang-Layang bagi meninjau sendiri perkembangan projek ini. Saya turut melihat kemajuan kerja-kerja infrastruktur serta berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan projek ini berjalan lancar demi keselesaan rakyat.

Dengan adanya landasan berkembar ini, perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral hanya mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikannya pilihan lebih pantas, selesa, dan efisien. Laluan sepanjang 192km ini merentasi Segamat, Kluang, Kulai, dan Johor Bahru sebelum berakhir di JB Sentral. Dengan kelajuan sehingga 160 km/j, tren elektrik ini mampu menampung kapasiti penumpang dengan 22 perjalanan sehari dan menawarkan 346 tempat duduk setiap tren.

Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) merupakan satu lonjakan besar dalam sistem pengangkutan rel negara, khususnya di selatan tanah air. Projek ini melengkapkan jaringan Landasan Berkembar Elektrik KTMB di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menghubungkan Johor Bahru hingga ke Padang Besar.

Projek ini merupakan sebagai sebahagian daripada transformasi infrastruktur negeri Johor. Semoga perkhidmatan ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri Johor, menjadikannya lebih maju dan berdaya saing. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor