Johor Dipilih Sebagai Hab Halal Pertama Paris Baguette

Johor dipilih sebagai hab halal pertama Paris Baguette, langkah strategik ke arah industri halal global!

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Perasmian Paris Baguette’s First Halal Food Hub di Nusajaya Tech Park, satu pencapaian penting yang bukan sahaja mengukuhkan Johor sebagai hab utama industri halal global, malah membuktikan keyakinan pelabur terhadap ekosistem perniagaan negeri ini.

Kehadiran Paris Baguette sebagai pengeluar rasmi produk halal di Johor menandakan lonjakan besar dalam sektor makanan halal premium. Pelaburan ini bukan sahaja merangsang ekonomi negeri dengan suntikan modal asing, malah membuka peluang pekerjaan berkualiti, memperkasa pembekal tempatan dan PKS, serta mengukuhkan Johor sebagai destinasi utama pelaburan halal berteknologi tinggi.

Selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030, projek ini mempercepatkan visi Johor untuk menjadi peneraju industri halal rantau ini. Dengan permintaan global terhadap produk halal yang semakin meningkat, Johor berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan potensi besar ini.

Melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Johor terus memperhebat daya saingnya sebagai kuasa ekonomi serantau, didorong oleh kemudahan perdagangan yang cekap untuk akses lebih pantas ke pasaran global, kos logistik yang kompetitif yang menjadikan Johor sebagai lokasi pilihan industri makanan halal, serta proses peraturan yang dipermudah yang menarik lebih banyak syarikat antarabangsa untuk melabur. Johor bukan sekadar lokasi pelaburan, ia adalah pintu emas ke pasaran ASEAN dan global.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada SPC Group atas kepercayaan dalam menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran halal utama mereka. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan strategik yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Johor dan memperkukuh ekonomi negeri ini. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor