Johor Perkukuh Hubungan Dagang dan Pelaburan dengan Korea

Johor terus menjadi tumpuan pelaburan yang signifikan dari Korea susulan lawatan kerja ke negara tersebut pada Oktober lalu.

Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan menerima kunjungan hormat daripada TYT Yeo Seung-Bae, Duta Republik Korea ke Malaysia serta wakil-wakil syarikat terkemuka Korea seperti SK Malaysia, Samsung C&T, Samsung SDS, Hyundai, Kiswire, dan SPC Group. Pertemuan ini memberikan peluang besar kepada Johor untuk memperkukuh hubungan dagang dan merangka strategi pelaburan yang bakal menggerakkan ekonomi negeri ke arah kemajuan yang lebih pesat.

Dalam pertemuan ini, kami berbincang mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelaburan dalam industri halal, serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi Johor Talent Development Council (JTDC). Inisiatif ini merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif, sekaligus menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa.

Pelaburan daripada syarikat-syarikat Korea ini dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat Bangsa Johor. Sektor-sektor seperti pembinaan, teknologi maklumat, tenaga boleh diperbaharui, dan pembuatan bakal menerima manfaat besar daripada kerjasama ini, mewujudkan lebih banyak peluang bagi anak Johor.

Selain itu, Johor turut menyambut baik hasrat syarikat-syarikat Korea untuk terus melabur dalam infrastruktur, termasuk pembangunan pusat data dan projek pembangunan utama di negeri ini. Kepercayaan ini membuktikan Johor semakin diiktiraf sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.

Dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pelabur antarabangsa, serta agensi berkaitan, saya yakin pelaburan ini akan membawa impak positif kepada kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat Johor. Semoga hubungan yang kukuh antara Johor dan Korea ini terus berkembang demi manfaat bersama. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor