Johor Komited Mencapai Sungai Bebas Pencemaran
Johor berjaya kurangkan sungai tercemar dari 14 kepada 9, menuju matlamat sifar sungai tercemar! Namun begitu masih banyak usaha yang perlu dilakukan dan semua rakyat Johor mempunyai peranan yang cukup besar untuk menjaga alam sekitar kita. Mulakan dengan jangan membuang sampah merata tempat!
Menjunjung Kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor HRH Crown Prince of Johor, lebih daripada 2,000 sukarelawan telah bersama-sama menyertai Program SV Go Green X Johor Bersih 2025. Ini menunjukkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan Bangsa Johor mengenai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.
Melalui Belanjawan Johor 2025, sebanyak RM 7 juta telah diperuntukkan untuk pembersihan sungai-sungai tercemar di Johor, sekaligus menyokong usaha memelihara alam sekitar. Dan program yang dilaksanakan di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau ini bertujuan untuk membersihkan sungai-sungai serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.
Program ini bukan hanya sekadar membersihkan sungai dan kawasan sekitar, tetapi juga sebagai platform untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Pencemaran alam sekitar bukan sahaja mengancam keseimbangan ekosistem, tetapi juga memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan kualiti hidup.
Sepertimana yang diajarkan dalam agama, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Dengan memelihara alam sekitar, kita bukan sahaja menjaga alam sekitar untuk generasi masa depan, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sosial kita terhadap komuniti. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak pada pihak berkuasa, tetapi pada setiap individu. Kita semua perlu berganding bahu untuk memastikan Johor terus maju dengan alam sekitar yang bersih.
Mari kita teruskan usaha ini dengan penuh komitmen. Setiap langkah kecil yang kita ambil, membawa impak yang besar. Dengan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin dan pasti Johor boleh mencapai matlamat sifar sungai tercemar dan menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih lestari dan sejahtera.
Jika bukan kita, siapa lagi yang akan bertindak?
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor