Johor Merekodkan Jumlah Pelaburan Diluluskan Tertinggi Di Malaysia Bagi Tempoh Januari Hingga Jun 2025
Syukur Alhamdulillah. Johor sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai jantung ekonomi negara apabila merekodkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, dengan nilai sebanyak RM56.0 bilion.
Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa memberi sokongan, nasihat dan panduan dalam memastikan Johor kekal fokus terhadap pembangunan ekonomi demi kemajuan negeri dan Bangsa Johor.
Dengan pencapaian konsisten dua suku tahun berturut-turut, saya yakin Johor berada di landasan kukuh menuju sasaran bersejarah pelaburan tahun ini. Suka untuk saya kongsikan bahawa segala pencapaian ini bukan kebetulan. Ia lahir daripada kesungguhan dan iltizam seluruh pasukan pentadbiran negeri dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan.
Lebih daripada sekadar angka, kejayaan ini juga adalah manifestasi kesungguhan Johor memastikan setiap pelaburan dipulangkan kembali kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan pemindahan teknologi dan kepakaran serta limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan.
Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) menyerlahkan lagi keupayaan Johor sebagai hab ekonomi serantau yang berfokus kepada pelaburan berkualiti tinggi, teknologi maju dan industri masa depan. Saya positif ini adalah permulaan yang akan membuka lebih banyak ruang kejayaan untuk Johor.
Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada barisan Exco Kerajaan Negeri, MIDA, MITI, Kementerian Ekonomi, IRDA, Invest Johor, serta agensi-agensi strategik yang sentiasa menjadi rakan pelaksana dalam menjayakan agenda pembangunan Johor. Semoga momentum ini terus diperkasa demi kemakmuran Johor dan kesejahteraan seluruh rakyatnya. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




