Majlis Peluncuran Khas Perkhidmatan ETS3 Rerta Perasmian Taman Mahkota Rel Di Kluang

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Peluncuran Khas Perkhidmatan ETS3 serta Perasmian Taman Mahkota Rel di Kluang.

Syukur Alhamdulillah, saya berbesar hati menyaksikan gimik peluncuran tren elektrik generasi ketiga (ETS3) dari Kuala Lumpur ke Kluang, satu detik bersejarah yang menandakan era baharu sistem pengangkutan di Johor.

Dengan kelajuan sehingga 140 km/j dan kapasiti lebih 300 penumpang, ETS3 bakal menjadikan perjalanan Kuala Lumpur–Johor Bahru hanya 3 jam setengah sebaik projek Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru siap hujung 2025. Lebih istimewa, sebanyak 11 stesen ETS akan beroperasi di Johor, sekali gus menghubungkan rakyat dan pelancong dengan lebih pantas dan selesa.

Majlis ini juga menyaksikan perasmian Taman Mahkota Rel, mercu tanda baharu Kluang yang menggabungkan warisan kereta api dengan pembangunan moden melalui Kluang Railway Heritage Urban Regeneration Programme. Elemen asal seperti landasan lama, papan tanda klasik dan jambatan pejalan kaki terus dikekalkan, menjadikan taman ini ikon bersejarah yang segar dan unik.

Taman Mahkota Rel adalah hadiah bermakna untuk Bangsa Johor. Ia bukan sekadar ruang rekreasi, tetapi simbol penghargaan kepada warisan sambil membawa nafas baharu kepada bandar Kluang. Peluncuran ETS3 dan perasmian Taman Mahkota Rel ini adalah langkah besar ke arah transformasi Johor sebagai negeri maju, makmur, dan berdaya saing selari dengan aspirasi Agenda Maju Johor 2030.

Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri dan Tahun Melawat Johor 2026, seterusnya menjadikan Johor ini destinasi pilihan pelancong, dengan keseimbangan antara pembangunan, warisan, dan kesejahteraan rakyat. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor