Perasmian Projek Bandar Industri MBW Innexus Serta Majlis Menandatangani MoU
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang merasmikan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta menyaksikan Majlis Menandatangani MoU, bersama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Terletak di atas tanah seluas 732 ekar dalam Koridor Pasir Gudang–Tanjung Langsat, yang merupakan sebahagian daripada Flagship D Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), projek strategik ini bakal menjadi mercu tanda baharu perindustrian Johor.
Dengan 36 plot industri berat bebas milik, MBW Innexus dijangka menarik pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan serantau serta membuka lebih 37,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Johor. Majlis ini turut menyaksikan beberapa kolaborasi penting, termasuk:
1. Perjanjian Kewangan Bilateral antara MB World Group Berhad dan Maybank Islamic Berhad; serta
2. Penyerahan Blueprint Industri Pintar antara MB World Group Berhad dan Telekom Malaysia Berhad.
Perkembangan ini berlaku seiring dengan momentum pelaburan Johor yang terus mengukuh, apabila negeri ini merekodkan RM30.1 bilion pelaburan dalam suku pertama 2025, rekod tertinggi di Malaysia. Angka ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa, malah menjanjikan lebih 33,000 peluang pekerjaan baharu serta pemindahan teknologi yang signifikan.
Semoga segala inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat Johor, malah menjadi enjin pertumbuhan baharu yang bakal mengubah landskap ekonomi negeri. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




