Johor Perkukuh Jaringan Global Demi Masa Depan Ekonomi Negeri Dan Kejayaan JS-SEZ

Syukur Alhamdulillah. Menjunjung titah DYAM Pemangku Sultan Johor, saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Johor telah mengadakan pertemuan dengan Qatar Investment Authority (QIA) di Singapura. 

Pertemuan ini merupakan susulan kepada sesi perbincangan antara Kerajaan Negeri Johor dan QIA semasa lawatan kerja ke Qatar sebelum ini. Fokus utama kami adalah memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor hartanah, infrastruktur, dan pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri. 

Sebagai salah satu entiti pelaburan terkemuka dunia, QIA turut berkongsi pandangan mengenai trend pelaburan global dan potensi Johor sebagai hab ekonomi serantau yang dinamik. Hubungan erat dengan pemain industri antarabangsa seperti QIA amat penting untuk memastikan Johor kekal berdaya saing serta mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negeri. 

Saya amat menghargai kesudian pihak QIA menerima kunjungan kami serta keterbukaan mereka dalam berkongsi pandangan. Semoga jalinan kerjasama ini terus diperkukuhkan dengan lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, seiring dengan aspirasi Johor untuk menjadi negeri maju dan makmur. 

Saya yakin, setiap langkah yang diusahakan akan membawa Johor lebih dekat ke arah merealisasikan JS-SEZ mengikut perancangan. Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor