Majlis Minum Petang Bersama Komuniti Kaum Sikh Negeri Johor
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri majlis minum petang bersama komuniti Kaum Sikh Negeri Johor sempena sambutan Hari Vaisakhi yang dianjurkan oleh Johor Sikh Gurdwaras and Associations.
Hari Vaisakhi merupakan hari kebesaran yang amat bermakna bagi seluruh masyarakat Sikh di seluruh dunia. Ia disambut pada 13 April setiap tahun sebagai memperingati identiti yang membentuk jati diri komuniti Sikh. Selain itu, Hari Vaisakhi turut menandakan permulaan musim menuai dalam kalendar masyarakat Punjabi Sikh, menjadikannya satu sambutan yang merangkumi dimensi spiritual dan ekonomi.
Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf sumbangan semua komuniti, termasuk masyarakat Sikh, dalam membentuk landskap sosial dan ekonomi negeri Johor. Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada komuniti yang terpinggir dalam arus pembangunan, dan setiap lapisan masyarakat diberikan ruang untuk berkembang serta terus menyumbang kepada kesejahteraan negeri.
Perpaduan yang kita nikmati hari ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada sikap saling menghormati, persefahaman antara kaum, serta semangat kebersamaan yang telah lama berakar dalam jiwa Bangsa Johor. Kita harus terus memelihara nilai ini, bukan sahaja dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan dan dasar yang inklusif serta adil kepada semua.
Sebagai sebuah negeri yang berbilang bangsa dan agama, kekuatan Johor terletak pada kemampuannya untuk meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan. Dalam semangat Bangsa Johor, kita semua tanpa mengira latar belakang adalah rakan kongsi dalam membina masa depan negeri ini. Setiap usaha ke arah perpaduan dan keharmonian adalah satu pelaburan penting demi kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat Johor keseluruhannya.
Semoga sambutan Hari Vaisakhi ini menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Bangsa Johor dan masyarakat Sikh, serta membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam memperkasa aktiviti sosial, budaya dan kemasyarakatan. Insya-Allah, kita akan terus maju sebagai Bangsa Johor yang bersatu, berpadu, dan teguh dalam menghadapi cabaran masa depan.
Selamat Hari Vaisakhi!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




