Simposium Penjawat Awam Negeri Johor: Memahami dan Merealisasikan JS-SEZ

Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan hadir ke Simposium Penjawat Awam Negeri Johor: Memahami dan Merealisasikan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang menghimpunkan nadi pelaksana dasar negeri di bawah satu bumbung, dengan satu semangat dan satu matlamat.

JS-SEZ merupakan simbol kesungguhan Johor untuk melonjak ke tahap pembangunan yang lebih tinggi melalui kerjasama strategik dengan Singapura dengan membuka ruang pelaburan baharu, mempercepat pembangunan prasarana, serta menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

Namun saya sedar dan insaf, sebesar mana pun visi dan seindah mana pun pelan, ia tidak akan ke mana-mana tanpa hati yang bersatu dan pasukan yang bergerak seiring. Penjawat awam adalah arkitek masa depan negeri Johor. Tanpa komitmen dan dedikasi semua terutamanya penjawat awam, JS-SEZ hanyalah pelan di atas kertas, bukan realiti yang membawa manfaat kepada rakyat.

Justeru, simposium ini adalah ruang untuk kita bermuafakat, tempat menyatukan pemahaman, memperkukuh iltizam. Meskipun kita datang dari jabatan, agensi dan latar peranan yang berbeza, kita tetap membawa panji yang sama: menjayakan JS-SEZ dalam memartabatkan Johor.

Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan simposium ini. Terima kasih kerana terus menjadi tunjang perubahan, kerana setiap usaha kecil ini adalah bahagian penting dalam kisah masa depan Johor. Johor tidak mungkin berdiri megah tanpa sumbangan ikhlas dan dedikasi semua penjawat awam.

Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudahkan, demi Johor yang lebih maju, makmur dan bermaruah. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor