Johor Property Expo (JPEX) 2025

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan pelaksanaan di negeri Johor.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Johor Property Expo (JPEX) 2025, sebuah platform hartanah terbesar negeri yang berlangsung sepanjang tiga hari di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall dan telah mencatat kehadiran hampir 30,000 pengunjung pada hari pertama penganjurannya.

Berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Suku Pertama 2025, Johor muncul peneraju nasional dalam pelancaran projek perumahan baharu dengan 5,300 unit atau 23.6 peratus daripada jumlah keseluruhan negara. Daripada jumlah tersebut, 1,819 unit (34.3 peratus) berharga di bawah RM300,000, menjadikan Johor negeri paling aktif dalam penyediaan rumah mampu milik untuk golongan B40, M40 dan pembeli rumah pertama.

Seiring dengan pencapaian ini, JPEX 2025 turut bakal menawarkan 15,186 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan 12,000 unit hartanah Bumiputera, merangkumi unit sedia ada serta pelancaran baharu secara berperingkat sehingga 2026. Sebanyak 69 peratus unit berharga di bawah RM150,000, membuka akses pemilikan rumah yang lebih mudah dan mampu milik kepada rakyat Johor.

Usaha ini juga selaras dengan sasaran 100,000 unit RMMJ menjelang 2030. Setakat suku kedua 2025, sebanyak 17,741 unit telah siap dibina, manakala 12,259 unit lagi sedang disiapkan di seluruh daerah. Inisiatif ini turut diperkasa dengan program berimpak tinggi seperti Rumah Percuma, Rumah Kasih Johor, Rumah Prihatin Johor serta baik pulih rumah daif, demi kesejahteraan seluruh rakyat Johor.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh Bangsa Johor hadir memeriahkan JPEX 2025 dan merebut peluang memiliki kediaman idaman pada harga mampu milik. Semoga usaha ini benar-benar dapat dimanfaatkan oleh rakyat Johor sekali gus membuka lebih banyak peluang pemilikan rumah. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor